Monday, 17 November 2014
17/11/2014
Sepanjang harini aku banyak habiskan masa bersama Marissa kerana neneknya ada hal yang tak dapat dielakkan.Kakaknya,Sepet pun turut serta bersama nenek.Jadi,aku cuba gunakan peluang untuk bersama Marissa dengan membawanya berjalan-jalan ke pantai.Untuk musim sekarang,cuaca agak tidak menentu dan selalu hujan.Itu adalah petanda-petanda awal untuk musim tengkujuh namun petang tadi cuaca nya agak baik dan hanya mendung.
Marissa semakin membesar.Dia sekarang sangat petah bercakap walaupun hanya beberapa patah perkataan sahaja yang aku faham,namun aku tidak pernah penat untuk melayan segala cerita serta telatahnya yang kadang-kadang sedikit nakal dan comel.Berbekalkan sebotol susu aku terus menuju ke pantai untuk bersantai dan menikmati waktu petang bersama Marissa.
Sewaktu di pantai,dia seakan tergamam melihat deruan ombak besar.Aku cuma perhatikan gerak-geri nya yang hanya tercegat melihat ombak yang menghempas pantai.Mungkin itu pertama kali baginya melihat ombak musim tengkujuh,tidak seperti selalu yang hanya dapat melihat ombak kecil di tepian pantai sambil mencengkam kuat pepasir lembut.
Aku juga sempat merakamkan detik indah aku bersama Marissa di pantai dan merakam satu video kepetahannya bercakap sewaktu kami dalam perjalanan ke Pantai Bukit Keluang,pantai yang tidak asing bagi aku dan rakan-rakan peluncur ombak.Video itu cuma untuk kenangan,mungkin sangat berharga untuknya nanti.Aku simpan.
Sedang asyik aku melayan Marissa di tepi pantai,tiba-tiba hujan renyai-renyai yang seakan memberi amaran agar aku segera pulang.Lagipun,waktu itu sudah hampir senja lalu aku bawa Marissa pulang.Sebelum kami pulang,aku akan sediakan pelbagai bahan makanan untuk kami lepak sepanjang malam di rumah.Untuk itu,aku belikan makanan kegemarannya yang terdapat di warung kecil di kawasan tempat aku tinggal.Marissa suka kan laksam,makanan tradisi Pantai Timur dan aku pula lebih suka kan makanan/kuih yang berasaskan pulut.Memandangkan sekarang adalah musim hujan,aku lebih selesa untuk makan malam di rumah.Lagipun itulah yang sepatutnya aku lakukan kerana bimbang akan kesihatan Marissa jika aku biarkannya terkena hujan.
Belum pun sampai ke rumah,Marissa sudah terlelap setelah berjaya habiskan sebotol susu.Perlahan-lahan aku mengangkatnya agar aku tidak mengganggu waktu istirehat yang dia mahukan.Tapi aku tak kan biarkan dia tidur lama-lama kerana dia belum bersihkan badan dan tukar pampers.Marissa sedar tatkala azan magrib berkumandang di pembesar suara di surau yang berhadapan dengan rumahku.
Selepas aku selesai mandikannya dan bersolat,kami makan malam bersama-sama.Untuk anak kecil yang dalam proses pembesaran,Marissa memang nampak berselera untuk makan.Tak sabar-sabar dia menunggu aku buka kan plastik laksam kegemarannya.Suapan demi suapan sehingga berkali-kali dia minta suapan tambahan jika aku lambat sedikit suapkannya.Hilang segala penat,tenggelam segala keperitan bila melayan karenahnya.Kadang-kadang sambil mengunyah dia sempat menyanyi ikut lagu yang ada kat tv walaupun sebutannya hanya dia yang faham,aku cuma tergelak dan menggangguk tanda faham kerana itu sahaja reaksi yang aku mampu lakukan.Habis makan,kami lepak depan tv.
Walaupun kami tidak selalu bersama,tapi naluri dan keakraban kami tetap macam selalu.Mungkin itu adalah anugerah dari Tuhan untuk golongan sepertiku dan mungkin atas dasar itu Marissa punyai sedikit jiwa yang sangat sensitif jika dibandingkan dengan kakaknya.Setiap kali aku sedikit tinggikan suara,dia pasti terdiam dan terus tertunduk.Tanpa aku sedari,airmata jernih mengalir di pipinya.Itu adalah tanda hatinya telah terguris.Pelukan adalah ubat yang paling mujarab untuk aku memujuknya agar rajuknya tidak berpanjangan.Cintaku pada Marissa semakin terpatri.
Marissa setiap kali pulang dan berada disampingku,dia pasti akan tidur lewat kerana suka bermain-main dan sudah pandai mengajak aku bergurau.Aku layankan,itu adalah terapi untuk aku.
Setelah kepenatan,aku mula padamkan lampu dan hanya pasangkan lampu tidur agar Marissa senang untuk ke alam mimpi indah.Saat itulah aku rasakan segala lelah melayang bersama-sama ulikan di peha Marissa.Dia kemudian terlelap bersama bunga-bunga mimpi indah lalu perlahan-lahan aku mengangkatnya ke bilik tidur.Saat itu juga aku mula mencatat setiap kenangan untuk sepanjang hari bersamanya...
*Marissa,
secebis coretan puisi untukmu sayang...
"Kau buah cintaku
Kau penyejuk di jiwa ini
Kau memang ku damba,ku nanti di segenap jiwa ini
Anakku sayang..
Kau adalah harapan di masa hadapan
Kau bisa buat sedih jadi bahagia
Kau adalah kekuatan cinta yang tiada bandingnya
Kala kau bahagia aku sangat bahagia
Kala kau sedih hatiku turut bersedih bahkan lebih sedih dari apa yang kau rasa
Dikala kau sakit semua tubuh ini juga terasa sakit
Segenap jiwa aku berikan untukmu anakku
Sepenuh hati akan aku berjuang untukmu sayangku
Harapanku hanya satu,
Jadilah anak yang solehah
Anak yang berbakti pada semua
Doa ku akan selalu dan selalu untukmu
Hanya untuk kebahagiaanmu.."
PAPA
18/11/2014
02:01am
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment